Followers

Premis Hiburan: Islam Tidak Bersifat Diskriminatif



Muttakhir ini, isu premis hiburan makin hangat dimainkan di semua peringkat media dalam negara ini terutama selepas timbulnya isu pengharaman terhadap premis-premis hiburan oleh kerajaan negeri Kedah dan kerajaan negeri Melaka bersetuju melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan malam di sekitar Melaka. Isu ini menimbulkan konflik yang serius dalam kalangan masyarakat Malaysia apabila ianya membabitkan kepentingan agama, masyarakat Islam dan bukan Islam dan juga kepentingan pengaruh politik sesetengah parti-parti politik di Malaysia.

ISIUKM melihat isu ini sebagai satu cabaran buat seluruh umat Islam di Malaysia untuk melihat dari perspektif yang rasional berpandukan kepada tujuan utama syariat ALLAH diturunkan kepada seluruh manusia. Dalam maqasid syariah, Islam telah membahagikan kepada beberapa bahagian iaitu dharuriyyat (keperluan asasi yang wajib dipenuhi setiap manusia), hajiyyat (kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia) dan tahsiniyyat (kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak). 

Berpandukan kepada kesemua bahagian maqasid syariah di atas, jelas sekali syariat yang diturunkan kepada manusia adalah bertujuan menjaga keseluruhan manusia daripada ditimpa sebarang masalah pada diri mereka sendiri, malah kepada seluruh elemen yang berada di sekitar mereka sendiri termasuklah alam sekitar dan binatang-binatang.

Dalam perkara dharuriyyat, Islam telah menggariskan 5 perkara utama yang wajib dipenuhi oleh setiap manusia iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.

Oleh itu, berpandukan kepada perkara di atas, ISIUKM menyokong penuh tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah untuk memberi kebenaran bersyarat kepada seluruh pemilik kelab hiburan malam di negeri Kedah untuk menjalankan operasi mereka dalam bulan Ramadhan dengan memastikan tiada orang Islam mengunjungi premis mereka.

Bukti Islam Tiada Diskriminasi

Tidakan sebegitu adalah amat wajar dibuat dalam keadaan taburan penduduk di negeri Kedah yang berbilang kaum dan agama. ISIUKM menyifatkan tindakan tersebut adalah bijak setelah meneliti keputusan tersebut masih dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak dan tidak melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.



Malah, ISIUKM turut yakin bahawa tindakan tersebut telah membuktikan Islam bukanlah agama yang menindas hak penganut agama lain dalam segala perkara walaupun ianya membabitkan perkara yang dilarang oleh Islam terhadap penganutnya sendiri. Seperti dalam isu ini, Islam sesekali tidak mengamalkan konsep diskriminasi kerana pengertian Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam sudah menjawab segala persoalan kita tentang isu ini.

Islam Menghormati Hak Bukan Islam

Islam telah memberi jaminan yang jelas bahawa setiap hak orang bukan Islam akan dihormati dan dipenuhi. Sejarah dunia sentiasa membuktikan bahawa Islam sentiasa menjaga dan melindungi hak-hak orang bukan Islam biarpun orang-orang bukan Islam tergolong dalam kelompok minoriti dalam sesebuah masyarakat tersebut. Namun begitu, kemaslahatan atau kepentingan kelompok majoriti haruslah dihormati sesama kita agar keharmonian dapat diwujudkan dalam masyarakat.

Isu premis hiburan juga menuntut seluruh masyarakat Malaysia, Islam dan bukan Islam untuk bertolak ansur dan saling memahami hak dan kepentingan masing-masing serta memastikan ianya tidak menjejaskan keharmonian negara dan amalan beragama masing-masing.

Islam Bukan Hanya di Kedah

ISIUKM menganggap adalah malang bagi masyarakat Malaysia jika hanya melihat isu ini dari sudut kepentingan survival politik sesetengah parti sahaja tanpa memikirkan sesuatu perkara yang lebih besar seperti persefahaman antara agama serta perpaduan kaum dan sepatutnya secara tidak lansung menyumbangkan ke arah kematangan warga Malaysia bertindak dalam menangani isu-isu sebegini.

Justeru, ISIUKM menyeru agar langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah dicontohi dan dituruti oleh kerajaan negeri yang lain terutamanya bagi persiapan menyambut bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Ketepikan kepentingan politik, duduk dan berbincanglah secara rasional demi melihat masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat Islam di Malaysia dapat di atasi. 

Oleh itu, ISIUKM menasihati kerajaan negeri Melaka agar menimbangkan semula keputusan untuk melanjutkan tempoh pengoperasian pusat hiburan malam sehingga pukul 3 pagi serta menyifatkan bahawa keputusan itu adalah tidak wajar setelah memikirkan umat Islam di Malaysia bakal menyambut kehadiran Ramadhan dalam tempoh terdekat.

"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah"

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
Presiden 
Ikatan Studi Islam UKM

No comments: