Followers

ISIUKM komited bersama PMRAM


Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) memandang isu percubaan untuk mengharamkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan isu pembuangan mahasiswa yang menuntut di sebuah IPT di Mesir sebagai suatu tindakan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Presiden ISIUKM, Saudara Muhammad Hafizan Bin Abd Hamid berkata, tindakan yang diambil oleh pihak yang berwajib susulan perhimpunan 9 Julai lalu seolah-olah mencerminkan sebuah tindakan yang tidak demokratik dan selari dengan prinsip dan intipati di dalam perlembagaan. Malaysia sebagai sebuah negara yang mendokong prinsip demokrasi sepatutnya menjadi contoh kepada negara pengamal demokrasi yang lain namun tindakan seperti ini telah memberi implikasi yang negatif kepada imej kerajaan Malaysia.

Tambahan beliau lagi,dengan situasi mahasiswa di sana yang tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),seharusnya pihak berwajib tidak mengambil tindakan tergesa-gesa dengan terus membuang mahasiswa tersebut sebaliknya menangani isu tersebut dengan sebaiknya. Beliau juga ketika dihubungi berharap isu ini tiada langsung membabitkan motif politik.

Maklumat dari sumber yang dipercayai ada mengatakan pihak kedutaan seolah-olah menyampaikan beberapa maklumat palsu kepada Universiti Al-Azhar supaya PMRAM segera diharamkan namun ISIUKM memandang biarlah ada perbincangan yang membabitkan sama pihak PMRAM supaya sumber maklumat yang sebenar dan tulen dapat diambil dari kedua-dua belah pihak kepada pihak universiti.

ISIUKM juga berharap pihak kedutaan Malaysia bersikap matang dan profesional dalam menangani isu ini seterusnya tidak berterusan melibatkan dan menekan pentadbiran Al-Azhar. Ini berikutan usaha membuang mahasiswa yang terbabit serta usaha pengharaman PMRAM adalah berpunca dari pihak kedutaan Malaysia sendiri dan bukannya melibatkan kepentingan Al-Azhar.

Justeru ISIUKM menaruh sepenuh harapan kepada Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir supaya membuat pertimbangan yang sewajarnya agar usaha perubahan Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih demokratik akan dapat direalisasikan.

"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah"

Muhammad Hafizan bin Abd. Hamid
Presiden 
Ikatan Studi Islam UKM

No comments: