“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
(Al-Kahf : 13 – 14)
Ayat di atas menceritakan perihal Ashabul Kahfi yang sewajarnya dihayati sebagai muhasabah agar kita sama-sama sedar, di manakah peringkat kita? Adakah kita boleh berbangga dengan apa yang kita miliki sehingga saat ini dan seterusnya mengisytiharkan diri kita sebagai pejuang Agama Allah?
Aset Penting Gerak Kerja Islam
Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan golongan syabab (muda) memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.
Walaubagaimanapun, kenyataan ini bukanlah untuk merendah-rendahkan golongan yang sudah melepasi dunia muda atau tidak mengiktiraf jasa-jasa mereka dalam perjuangan Islam, tetapi sekadar menyedarkan pemuda pemudi Islam akan peranan kita.
Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah).
Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.
Antara syarat-syarat tersebut ialah:
Syarat Pertama
Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.
Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.
Syarat Kedua
Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (reality) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.
Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan.
Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).
Syarat Ketiga
Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai kumpulan dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dan ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.
Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.
Syarat Keempat
Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’.
Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin (golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).
Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.
Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dna ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.
Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan.
Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda.
Tanggungjawab berat yang dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).
Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, penyusunan yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk penyusunan gerak kerja secara bersama.
Kesimpulan
Pemuda pemudi hari ini khususnya mahasiswa Islam perlu menyiapkan diri dengan pelbagai persiapan. Persiapan-persiapan tersebut termasuklah dari segi kejiwaan, keilmuan, kebendaan serta gerakan. Konsep al-fahmu (kefahaman) perlu dititik beratkan agar matlamat perjuangan ini jelas dan tidak dipandu oleh nafsu, logik akal dan semangat semata-mata.
Dalam fatrah pilihan raya kampus yang bakal menjelang, sahabat2 seperjuangan perlu jadikan keempat-empat syarat yang dibawa melalui ayat tadi sebagai muhasabah dalam mengenal diri masing2? Persoalan yang harus bermain di fikiran kita, “sudahkah kita mencukupkan syarat untuk menjadi penegak panji Islam?”
disusun kembali oleh:
Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
www.tintadakwah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment