Followers

Diari Kehidupan di Bumi Barakah Damsyiq..siri 18

1 Januari 2009

Alhamdulillah, akhirnya Allah masih memberi keizinan kepada kita untuk meneruskan hidup di atas muka bumi dalam tahun baru dengan azam yang baru serta matlamat perjuangan yang masih belum selesai. Jangan lupa untuk kita semua melafazkan syukur terhadap semua nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Bukan sekadar kata-kata, malah syukur mestilah diaplikasikan dalam bentuk pengamalan kehidupan seharian kita. Menyambut kedatangan tahun baru yang pertama di negara orang membuatkan diri rasa satu kelainan yang amat sangat. Apa tidaknya kerana kali ini menyambut tahun baru di sebuah negeri yang penuh barakah yang telah di doakan Nabi saw. Jika di Malaysia kita seolah-olah kagum dengan konsert dan bunga api yang disajikan pada malam tahun baru, alhamdulillah ana dan sahabat-sahabat di sini menyambut tahun baru dengan Haflah Khatam Ijazah Sanad Hadis Sunan Tirmizi secara riwayah.

BI’AH ILMIAH YANG HEBAT


Lebih seribu orang dari pelbagai negara telah mendapat ijazah sanad baca hadis sunan tirmizi daripada Syeikh Abil Huda Alya’qubi, salah seorang syeikh besar di bumi Syria ini sejak 25 Disember hingga 1 Januari 2009. Sangat mengagumkan apabila bukan sekadar dari pelbagai negara, malah rakyat Syria adalah yang teramai dalam mengambil bahagian. Jika negara luar yang datang, kita sudah makruf kerana memang mereka menghuni di bumi barakah ini untuk menuntut ilmu dengan para masyaikh di sini. Tp sambutan juga sangat-sangat menggalakkan dari warganegara sendiri. Terkenang pula jika program-program keagamaan di Malaysia, berapa kerat je yang akan datang, selebihnya mungkin atas jemputan dari pihak penganjur. Sangat memalukan. Lebih menakjubkan, yang memegang kitab sunan tirmizi ni bukan sahaja daripada kalangan remaja yang sedang menuntut di jami’ah atau maahad, malah adik-adik kecil yang kita bahasakan kanak-kanak juga turut serta mengambil bahagian. Ada yang berumur 13 tahun, 10 tahun dan ramai lagi. Sudahlah kecil, datang dari jauh pula. Bayangkan ada seorang peserta yang mengambil bahagian duduk di Halab datang ke Dimaysq dengan umur sedemikian. Ibaratnya dari Kuala Lumpur ke Kelantan mengambil masa lebih kurang 5 ke 6 jam perjalanan. Tidur di masjid selama 8hari tersebut semata-mata untuk mengambil bahagian dalam program membaca hadis sunan tirmizi ini. Kelas hadis ni berjalan selama 8 hari bermula seawal jam 6 pagi selepas subuh dan tamat pada jam 9 malam. Hanya rehat pada waktu solat dan makan selain diselangkan dengan nasyid, qasidah dan burdah yang sangat menusuk qalbu. Masya Allah Tabarakallah. Satu budaya yang sangat hebat dan subur yang patut diambil teladan oleh negara kita.

SENSITIVITI YANG TINGGI
..
Perancangan Allah adalah sebaik-baiknya. Ditakdirkan Allah Palestin diserang lagi di Semenanjung Gaza oleh Israel Laknatullah. Serangan yang hebat memaksa pihak HAMAS melancarkan intifadhah kali ke-3 bagi mempertahankan bumi suci dan penuh barakah Palestin serta qiblat pertama umat Islam iaitu Masjidil Aqsa. Alangkah terkejutnya kami yang sedang mengikuti pengajian hadis apabila Israel telah menjamah daging saudara seaqidah kami di Gaza. Satu pengumuman dibuat selepas solat Asar memberitahu keadaan terkini saudara seaqidah kami di Palestin. Selepas pengumuman dibuat, kelas hadis diberhentikan sementara waktu dan syeikh menyeru kepada semua yang mengikuti pengajian hadis tersebut agar dapat membaca surah Yasin untuk para syuhada’ yang telah gugur syahid fi sabilillah. Maka semua yang mengikuti kelas tersebut semuanya membaca Yasin masing-masing. Selesai membaca Yasin, maka bergilir-gilir syeikh dan peserta ynag duduk di depan membacakan doa sehingga waktu Maghrib masuk. Bayangkan sahabat-sahabat, dalam keadaan kelas yang padat pun boleh berhenti untuk membantu umat Palestin, apatah lagi kita ini yang banyak waktu lapang. Bukan sahaja di kelas hadis mereka berdoa, di mana-mana sahaja akan kedengaran siaran radio atau tv yang hanya membuka siaran untuk mengetahui keadaan terkini umat Palestin. Satu hari, ana naik teksi dan pemandu tersebut turut membuka siaran tersebut. Pemandu teksi tersebut juga turut menangis sambil membawa teksi. Ya Allah, kali ini ana juga sangat-sangat terkesan. Bayangkan ana dulu jika mendapat sms atau khabar berita tentang Palestin, hanya mendengar tanpa berbuat apa-apa. Tapi kali ini Allah beri peluang untuk sedar bahawa pentingnya mengambil berat tentang keadaan umat Islam seluruhnya. Takutlah kita dengan peringatan hadis Nabi saw:
Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam maka dia bukanlah dikalangan mereka.