
Alhamdulillah, 18hb yang lepas kami seramai 96orang pelajar Fakulti Pengajian Islam di UKM telah tamat mengikuti Kem Bina Negara di Kuarters KLIA, Nilai. Ada 2 kumpulan lagi yang mengikuti program yang sama di tempat berbeza iaitu di Sepang dan Melaka. Saya tidak pasti apa rasionalnya kami terpisah, mungkin atas sebab ketakutan dan igauan ngeri pihak penganjur akibat ‘penentangan’ yang akan terjadi sekiranya kami dikumpul semua sekali.
Perlembagaan dan Fakta Sejarah
Kami didedahkan dengan 3 ceramah besar dan 9 LDK. Tidak dinafikan banyak input yang saya dapat. Antaranya pendedahan tentang perlembagaan yang sangat menarik. Saya pernah memegang buku Perlembagaan Malaysia, cuma tidak terlalu teliti dan menghayati perlembagaan tersebut. Mungkin pemikiran saya dan sahabat2 saya yang lain berbeza, apa yang saya ingin tekankan ialah, mungkin perlu kajian yang lebih mendalam tentang lompang2 dan kelemahan dalam perlembagaan ciptaan manusia ini.
Kami juga didedahkan dengan sejarah kemerdekaan, sejarah Melayu, dan beberapa fakta yang saya rasa tidak diterangkan secara menyeluruh malah hanya berpihak kepada sebelah pihak. Ini yang buat saya melenting dan marah. Jika betul inginkan perpaduan, biar ikhlas dan jujur. Jangan hanya inginkan sokongan dan ingin meracuni pemikiran anak muda, anda sanggup menjadi petualang bangsa dan agama. Takut2 nanti Negara yang kita cintai rosak kerana ANDA!.
Saya bersyukur kerana menjadi seorang Islam yang Melayu. Saya juga tidak pernah nafikan perjuangan pejuang2 kemerdekaan yang lalu. Allah akan membalas jasa mereka. Tetapi, apa yang saya risaukan ialah sentiment keMelayuan. Bagaimana Melayu ingin bersatu dan ingin capai perpaduan sesama bangsa yang lain jika sentimen yang banyak dimainkan, dan bukan titik persamaan yang ingin dicari? Buka dan kajilah sejarah perpaduan yang dibawa Nabi saw.
Disiplin dan Ibadah
Alhamdulillah, perkara yang paling saya suka dalam kem ini ialah disiplin. Disiplin sangat penting. Cuma yang lebih penting ialah implementasi konsep ‘Ihsan’ dalam setiap perkara pasti akan membuatkan anda lebih berdisiplin. Semua sahabat saya turun solat berjemaah dan mengikuti kuliah Maghrib dan Subuh setelah diberitahu ia adalah perkara ‘Wajib’ semasa program. Tetapi, jika kita berjaya terjemahkan maksud Ihsan dalam setiap tindakan, maka kita akan disiplin melaksanakan ibadah tanpa ada suruhan daripada manusia.
"Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya ia melihat engkau."
'Keterbukaan' BTN
Kami mempunyai 10 kumpulan dan 11 fasilitator. Cuma kumpulan saya mempunyai 2 orang fasilitator. Malah diletakkan orang ‘paling hebat’ dalam kumpulan saya. Mengapa? Adakah disebabkan saya banyak menentang dan bertanya soalan yang menganggu gugat keMelayuan fasilitator dan penceramah? Atau dengan 2orang fasilitator ini mampu mengubah pendirian saya untuk lebih perjuangkan Melayu daripada yang lain??. Kata terbuka menerima sebarang kritikan. Pelik. Lu pikirlah sendiri.
Setiap LDK mempunyai matlamatnya sendiri. Malah ada 2 ke 3 LDK yang saya rasa agak sesuai untuk dilaksanakan kerana ia memang penting untuk mahasiswa seperti perlu berfikiran 30 kotak dan bukannya bawah daripada itu. Itu barulah mahasiswa yang sentiasa berfikir untuk memimpin masa akan datang. Tapi, masalahnya ramai yang takut ingin bersuara kerana jika terlalu banyak bersuara dan bersifat terbuka, anda seolah2 di’target’ dalam setiap LDK seterusnya. Makin ‘MELAYU’ lah mahasiswa.
Kesimpulan
Saya setuju dengan BTN sekiranya segala gerak kerja dilakukan adalah berpandukan landasan syariat yang sebenar. Didiklah semangat perpaduan kepada sesiapa sahaja seperti yang diajar oleh baginda Nabi saw. Malah semua aktiviti yang bercampur antara kaum adam dan hawa mestilah dijaga adab tertibnya sesuai dengan situasi dan kondisi mahasiswa. Jangan perbudakkan kami dan yang paling penting, hormatilah orang di sekeliling anda jika anda ingin dihormati.
Salam Perpaduan!
Muhammad Hafizan bin Abd. Hamid
www.tintadakwah.blogspot.com
