Followers

Kenyataan Rasmi ISIUKM mengenai "Konsert Selamba Je" Pesta Konvokesyen ke-39 (PK39)

1. Selepas pihak jawatankuasa PK39 mendapat media rasmi iaitu Muzik FM yang juga penaja konsert, mereka ada merujuk kepada saya. Justeru saya membawa mereka berjumpa dan berbincang bersama Al-Fadhil Ust Anwar Fakhri, Pensyarah Jabatan Syariah, FPI UKM yang juga merupakan Penyelaras Klinik Syarak di FPI. Maka satu garis panduan telah dipersetujui bersama dan garis panduan tersebut akan diserahkan kepada Muzik FM.


Garis panduan : Sila klik pada gambar untuk lebih jelas.

2. Selain berbincang bersama Ust Anwar Fakhri, Pengarah Eksekutif dan Eksekutif Program PK39 juga ada membuat perbincangan bersama AL-Fadhil Ust Izhar Arif Mohd Kashim yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Syariah, FPI UKM merangkap Mursyid Imam Muda 2 mengenai konsert. Hasil perbincangan adalah sama seperti perbincangan bersama Ust Anwar Fakhri.

3. Pada hemat saya, perjalanan keseluruhan PK39 harus dipuji kerana kesungguhan mereka dalam memastikan Islam sentiasa berada di tempatnya. Inilah kali pertama saya berada di pesta konvo yang dilaungkan azan dan promosi solat berjemaah, ada sesi tazkirah ringkas dan pengasingan tempat duduk lelaki dan perempuan. Kesungguhan ini harus dipuji dan dicontohi.

"Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami (menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya"                                                          (Surah al-Ankabut: 69)

4. Islam tidak pernah menghalang untuk berhibur. Tetapi ia menyediakan garis panduan yang cukup baik untuk menjaga dan memandu kita. Justeru, konsep tadarruj atau berperingkat-peringkat yang dibawa PMUKM dan PK39 dalam memastikan budaya hedonisme dapat dikawal patut dipuji. Proses ini tidak berlaku dalam sehari, tetapi ia makan masa yang panjang. Kuncinya adalah KESUNGGUHAN yang didasarkan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

5. Walaubagaimanapun, Islam tidak pernah berkompromi dengan maksiat. Kegagalan pihak penaja iaitu Muzik FM dalam menyediakan artis yang menutup aurat dengan sempurna amat mendukacitakan. Justeru itu, pada masa akan datang pihak jawatankuasa PK39 diharap dapat bertegas dengan penaja konsert supaya mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan. Jika perkara itu berlaku di luar kemampuan mereka, maka yakinlah bahawa Allah mengetahui hamba-hambaNya yang ikhlas dalam mendaulatkan agama-Nya.

6. ISIUKM komited untuk memartabatkan Islam dan Falsafah Universiti. Justeru, ISIUKM bersedia untuk menjadi orang tengah dalam perbahasan, wacana dan dialog untuk menerangkan polemik yang berlaku. Kita harus menginsafi hadis Nabi SAW yang berbunyi:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang jahil yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.”
                               (HR. Ibnu Majah, disahihkan al-Albani dalam as-Shahihah [1887] as-Syamilah)

7. Kita merancang, Allah juga sebaik-baik perancang. Semoga segala usaha dalam meletakkan Islam di tempatnya dibalas oleh Allah dengan selayaknya. Tahniah kepada seluruh jawatankuasa PK39.

"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah"

Muhammad Hafizan bin Abd. Hamid
Presiden
Ikatan Studi Islam UKM
013-2129365

No comments: