Followers

Nuzul Al-Quran: Sejauh Mana Penghayatan Kita?


17 Ogos 2011 bersamaan 17 Ramadhan 1432 H merupakan Hari Nuzul Quran seperti yang tercatat dalam kalendar Malaysia. Tidak semua negeri yang mengambil hari ini sebagai hari cuti. Hanya Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, P.Pinang, Selangor, dan Terengganu menjadikan ia cuti bagi negeri masing-masing.

Ramai yang menulis mengenai Nuzul Al-Quran. Sama ada pada ruang status Facebook mereka, pada blog masing-masing, twitter, dan laman sosial yang lain. Ada yang menulis mengenai sejarah penurunan Al-Quran, ada pula yang menulis tentang kehebatan Al-Quran, dan pelbagai lagi corak dan bentuk pemikiran manusia. Saya tersenyum memikirkan inilah hebatnya Kalam Allah yang merupakan mukjizat Nabi saw.





Al-Quran sebagai panduan hidup

Mungkin penulisan kali ini tidak menyentuh aspek khilaf tarikh nuzul Al-Quran atau sejarah disebaliknya. Tetapi apa yang ingin dimuhasabah bersama ialah, sejauh mana kita menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup? Adakah kita benar-benar menghayati kata-kata terakhir Baginda Nabi saw yang mengatakan bahawa kita tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya berpegang pada Al-Quran dan Sunnah Nya? 

Dalam sehari, berapa banyak ayat Al-Quran yang kita baca? Dalam sehari, berapa banyak ayat Al-Quran yang kita faham? Dalam sehari, berapa banyak ayat Al-Quran yang kita tadabbur? Mari kita bandingkan pula dengan kehidupan seharian kita. Dalam sehari, berapa lama kita buka Facebook? Dalam sehari banyak komen dan 'like' yang kita peruntukkan di Facebook? Dalam sehari, berapa jam kita bersama Facebook? Allahu Rabbi.

Al-Quran bukan sekadar di bibir. Ia bukan teori dan retorik malah ia adalah panduan hidup yang sangat praktikal. Bukan sahaja ia sesuai untuk zaman lampau, malah ia sangat sesuai dipraktikkan hingga akhir hayat. Ia bukan hanya untuk bangsa Arab, malah ia sangat sesuai untuk semua kaum dan bangsa. Subhanallah. Inilah Agungnya Al-Quran.

Justeru itu, mari kita sama-sama menghayati dan mengamalkan seluruh isi kandungan Al-Quran secara keseluruhannya. Bukan sekadar berdamping dengan Al-Quran pada bulan Ramadhan, tetapi menjadikan ia panduan hidup serta jawapan kepada setiap persoalan hidup yang terungkai. Ayuh, perkasakan amal ibadah dalam menjalani madrasah tarbiyah terutama dalam 10 malam yang terakhir. Mudah-mudahan Lailatul Qadar yang kita impikan menjadi kenyataan. Amin ya Rabb.

"Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza"

Muhammad Hafizan bin Abd. Hamid

No comments: