Followers

Perutusan Aidilfitri 1432H


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Syukur kita ke hadrat ALLAH SWT kerana kita telah berjaya menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan rasa taqwa kepada-Nya. Sesungguhnya tiadalah hadiah kejayaan yang lebih istimewa dari kejayaan kita memperoleh status takwa sebagaimana difirmankan oleh ALLAH dalam al-Quran;
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa." (al-Baqarah : 103)
Taqwa itu misi utama Ramadhan. Maka, mencapai nilai taqwa yang sebenar setelah melalui ranjau nafsu di bulan Ramadhan adalah menjadi punca kepada rasa istiqamah kita dalam menghadapi liku-liku perjuangan ini.
Aidilfitri adalah manifestasi kepada kejayaan kita selama sebulan menyantuni tarbiyyah yang disediakan khas oleh ALLAH SWT kepada seluruh umat Islam. Inilah nikmat sebenar yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Justeru, kita digalakkan untuk mengagungkan serta menyatakan kesyukuran kita terhadap ALLAH lantaran nikmat ini sebagaimana difirmankan oleh-Nya,
“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (al-Baqarah : 185)
Dengan penuh sedar dan insaf, saya menyeru kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya warga UKM untuk kita sama-sama menginsafi bahawa Syawal yang mendatang ini bukanlah tiket kepada kebebasan melakukan maksiat setelah diri kita terkunci selama sebulan Ramadhan. Sebaliknya, jadikanlah Syawal ini sebagai wasilah untuk kita makin mendekati Tuhan Rabbul Izzati setelah sebulan kita mendidik hawa nafsu untuk tunduk patuh kepada-Nya.
Sunnah Rasulullah SAW mengajar, bagaimana Baginda akan membacakan Surah Al-Qaf pada rakaat pertama dan Surah Al-Qamar pada rakaat kedua solat sunat Aidilfitri yang mana kedua-dua surah ini menceritakan persoalan tentang Hari Kiamat sedangkan Aidilfitri adalah hari kegembiraan buat seluruh umat Islam.
Di sinilah hikmahnya, betapa Rasulullah SAW mahu mengajar umatnya supaya tidak lalai dengan keasyikan Syawal dan lupa pada falsafah sebenar sambutan Aidilfitri. Jadikanlah Syawal ini sebagai jalan untuk kita meraih redha Ilahi dengan mengambil peluang merapatkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam serta menjauhi segala perkara yang merosakkan kesucian sambutan perayaan ini.
Sebagai mahasiswa yang dikurniakan tuhan dengan akal yang cedas, sepatutnya kita sentiasa menginsafi hakikat ini dan menjadi juru pandu buat rakan-rakan kita di luar sana dengan mengimplementasikan adab dan akhlaq sebenar Rasulullah SAW dalam menyambut Aidilfitri.
Akhir kalam, saya mewakili seluruh saff kepimpinan Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta Salam Kemerdekaan buat seluruh warga UKM khususnya dan umat Islam di seluruh dunia umumnya.
Allahuakbar, Allahukabar, Allahuakbar.



"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah"

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
Presiden 
Ikatan Studi Islam UKM

No comments: