Tanggal 9 Ogos 2011, Ikatan Studi
Islam UKM (ISIUKM) telah genap bertapak di bumi UKM selama 34 tahun.
Alhamdulillah, segala puji buat Tuhan Sekalian Alam yang telah memberi
kekuatan buat badan dakwah induk ini untuk terus menerajui mahasiswa
yang cintakan Islam di UKM dan menjadi platform utama kepada mahasiswa
Islam untuk bergerak menegakkan syiar agama yang dicintai selama 34
tahun.
34 tahun ISIUKM bertapak di bumi
ilmu UKM, bukan sedikit ranjau dan duri yang diterjang bagi memastikan
badan dakwah ini terus bernyawa dan subur menapak dalam kalangan
mahasiswa UKM.
Dengan misi mahu menjadikan
Islam sebagai ad-deen atau cara hidup di bumi UKM, ISIUKM bertekad akan
terus komited membawa suara Islam dan menjadi saluran utama buat
mahasiswa Islam menggembleng tenaga ke arah mencapai cita-cita tersebut.
Sejarah 34 tahun bertapak di
UKM, menjadikan ISIUKM membesar dan matang setelah mengalami beberapa
kali jatuh bangun dan turut berperanan dalam mencorak warna sejarah
kebangkitan mahasiswa era 70-an sehingga kini.
Ikatan Studi Islam UKM
ditubuhkan pada 9 Ogos 1977 oleh sekumpulan mahasiswa UKM yang datang
dari pelbagai fakulti pengajian UKM. Bermula dari saat itu, ISIUKM sudah
tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha mencorakkan mahasiswa
dan mengembangkan pengaruhnya sehingga wujudnya branch ISIUKM di setiap kolej kediaman yang dikenali sebagai myISIUKM.
Kejayaan dan kejatuhan silih
berganti, pengalaman manis dan pahit sepanjang tempoh 34 tahun telah
menjadikan ISIUKM terus kuat dan komited terhadap cita-cita yang dibawa
selama ini.
Sejarah
ISIUKM pasti tidak akan lupa, bagaimana badan dakwah ini pernah
difitnah oleh sesetengah individu sehingga namanya meniti di peringkat
antarabangsa. Malah ISIUKM turut pernah berdepan dengan ancaman
pengharaman oleh pihak pentadbiran akibat kepentingan sesetengah pihak,
namun kebijaksanaan kepimpinan ISIUKM dalam mendepani segala ranjau ini
telah menyebabkan persatuan Islam ini terus bertahan di perbukitan ilmu
sehingga ke hari ini.
ISIUKM telah berdiri di atas 3
pasak utama iaitu tarbiyyah, dakwah dan siyasah. Asas-asas ini tidak
pernah diabaikan oleh generasi demi generasi kepimpinan ISIUKM bermula
tahun 1977 sehingga kini. Setiap program yang dirancang dan dilaksanakan
oleh ISIUKM pasti akan merangkumi 3 asas utama ini sebagai tanda aras
keberjayaan sesuatu pogram.
Dalam hal tarbiyyah, selama 34
tahun ISIUKM terus komited menjadikan asas ini sebagai tunjang utama
melalui kegiatan usrah secara konsistn di setiap peringlat sama ada
kolej atau fakulti. Program usrah yang diatur melalui badan dakwah ini
telah disistemkan dengan sebuah sistem usrah yang lengkap serta
merangkumi silibus yang mencakupi seluruh aspek kehidupan sebagai
seorang mahasiswa Islam.
Begitu juga dalam pelaksanaan
asas dakwah, ISIUKM tidak pernah lupa menjadikan dakwah sebagai target
utama dalam setiap program yang dijalankan. Sejarah 34 tahun ISIUKM
bertapak di bumi UKM, dakwah ISIUKM telah sampai sehingga ke bumi Sabah
dan Sarawak malah turut menembusi sehingga ke bumi Kemboja.
Kerjasama dan jaringan yang baik dengan badan-badan dakwah yang lain telah menjadikan ISIUKM terus belajar untuk survival pada masa akan datang dan meningkatkan keberkesanan dakwah ISIUKM dalam kalangan mayarakat kampus.
Dalam hal siyasah, sejarah
membuktikan ISIUKM adalah antara kilang penghasilan pemimpin yang begitu
ramai tidak kira dalam kalangan mahasiswa ataupun pimpinan masyarakat
pada masa kini. Justeru, ISIUKM terus berazam untuk menerapkan
professionalisme dalam setiap gerak kerja dan urus tadbir yang dibuat
dan menjadi medan latihan terbaik buat setiap ahli ISIUKM melatihkan
sifat kepimpinan mereka dalam segenap segi.
Kini, 2011 menyaksikan ISIUKM
terus berkembang dalam pelbagai segi termasuklah jumlah keahlian,
pelaksanaan program dan pelbagai lagi. Kami di peringkat kepimpinan
Ikatan Studi Islam UKM mngucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat
seluruh warga kampus yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi
terhadap badan dakwah ini sepanajang keberadaannya di bumi UKM.
Kami sekali lagi bertekad, akan
terus komited mendukung Islam sebagai wadah perjuangan ISIUKM di
perbukitan ilmu ini. Sokongan dan bantuan dari seluruh warga kampus UKM
adalah amat-amat diharapkan untuk kami terus mengorak langkah
mencorakkan mahasiswa UKM ke arah eperti yang tercatat dalam lembaran
visi dan misi kami.
"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah"
Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
Presiden
Ikatan Studi Islam UKM
2 comments:
moga berolah rahmat dan maghfirah Allah...komited dgn gerakan jamaah, moga kelak bertemu sang pencipta dalam sedia=)
Allah Hu Akbar !!!
barakallahufiik akhi..
semogra terus komited bersama kami.. (",)
Post a Comment